Sebab-Sebab Tamadun Awal Muncul Di Lembah Sungai

Tamadun

Pengenalan :

Sejarah mula direkodkan secara bertulis lebih kurang pada tahun 3,000 SM. Tarikh ini menandakan bermulanya tamadun manusia di dunia. Mengikut ahli sejarah pembentukan tamadun manusia yang terawal bermula di lembah sungai. Empat tamadun terawal yang wujud di lembah sungai ialah Tamadun Sumeria atau Mesopotamia (kira-kira tahun 3,500 SM) di Lembah Sungai Tigris-Eupharates, Tamadun Mesir (kira-kira tahun 3,100 SM) di Lembah Nil, Tamadun Indus (kira-kira tahun 3,500 SM) di Lembah Indus dan Tamadun Shang (kira-kira tahun 1,800 SM) di Lembah Sungai Hwang Ho.

Sebab-Sebabnya :

a) Kesuburan Tanah

Secara umumnya, tanah di lembah sungai adalah lebih subur. Setiap tahun sungai-sungai ini akan mengaliri daratan-daratan di sekitarnya dan membentukan satu lapisan tanah yang kaya dengan galian. Misalnya, Lembah Tigris-Eupharates dan Lembah Sungai Nil memiliki tanah lanar. Pembentukan tanah subur di Lembah Hwang Ho berbeza sedikit, tanah subur serta halus yang dipanggil “loess” yang dimendapkan oleh angin-angin yang kencang. Kawasan-kawasan sedemikian amat sesuai untuk bercucuk tanam. Lebihan makanan turut wujud disebabkan teknologi yang bertambah maju. Keadaan ini mendorong pertambahan penduduk seterusnya menggalakkan pengkhususan di dalam bidang teknikal dan vokasional. Tumpuan penduduk di satu-satu kawasan terus menggalakkan kewujudan masyarakat yang lebih dinamik. Idea-idea serta ciptaan-ciptaan baru dapat berkembang dengan mudah.

b) Bentuk Muka Bumi :

Sementara itu, kawasan lembah sungai juga mempunyai bentuk muka bumi yang rendah dan rata. Keadaan ini sesuai untuk membina petempatan dan telah menarik ramai orang berhijrah ke kawasan lembah. Misalnya, dikatakan orang Sumeria datang ke Lembah Tigris-Eupharates dari kawasan pergunungan yang berdekatan.

c) Sistem Pengairan :

Sistem pengairan yang maju juga merupakan sebab penting yang menggalakkan kebangkitan sesebuah tamadun di kawasan lembah. Sungai boleh membekalkan air untuk pengairan tanam-tanaman. Terusan dan empangan yang telah dibina sejak kira-kira 5,000 tahun dahulu turut memainkan peranan dalam konteks ini dan meningkatkan daya pengeluaran. Kemudahan-kemudahan ini dapat menghasilkan makanan yang lebih banyak untuk menampung pertambahan penduduk yang pesat.

d) Bekalan Sumber Semula Jadi :

Selain itu, lembah sungai juga mempunyai bekalan sumber-sumber semula jadi yang kaya. Misalnya, sungai kaya dengan sumber makanan yang penting seperti ikan. Lembah Sungai Tigris dan Eupharates pula membekalkan mensiang (sejenis rumput panjang) dan tanah liat yang sesuai untuk pembinaan.

e) Iklim Sesuai :

Keadaan iklim juga merupakan salah satu sebab yang penting. Keadaan iklim di kawasan lembah adalah sederhana, iaitu tidak terlalu panas atau sejuk. Hal ini membolehkan aktiviti penanaman dijalankan tanpa banyak masalah. Malah, manusia tidak perlu menghabiskan banyak untuk mengatasi cabaran alam seperti iklim yang terlalu sejuk. Keadaan ini memang menggalakkan kebangkitan sesebuah tamadun.

f) Pengangkutan :

Sungai-sungai yang menjadi asas kepadatan tamadun-tamadun awal ini pula menjadi alat perhubungan yang penting. Sungai yang menghubungkan petempatan di kawasan hilir dengan kawasan hulu merupakan satu cara pengangkutan yang mudah. Pedagang-pedagang menggunakannya untuk menghantar barang-barang ke kawasan-kawasan lain. Hal ini telah menggalakkan perdagangan dan perkembangan tamadun di kawasan lembah.

g) Pertahanan :

Akhirnya lembah-lembah yang dalam akibat hakisan sungai turut bertindak melindungi tamadun-tamadun awal ini daripada serangan-serangan luar. Oleh itu, didapati kebanyakan tamadun awal wujud di lembah sungai.

Kesimpulan :

Memandangkan pelbagai kemudahan dan kebaikan telah dibekalkan di kawasan lembah sungai, memang tidak hairanlah kebanyakan tamadun awal manusia bermula di situ. Tamadun-tamadun lain yang tidak wujud di lembah sungai seperti Tamadun Hattites, Tamadun Greek, Tamadun Kush dan Tamadun Olimecs turut memilih tapak yang berhampiran dengan punca air seperti tepi laut dan tepi sungai.

Tamadun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>