3) Ciri-Ciri Negara Kota Sparta

Sparta

SPARTA

Latar Belakang

Negara Kota dalam Bahasa Greek disebut sebagai polis menulis Kamus Dewan, ia ditakrifkan sebagai negara berautonomi yang memerintah sendiri dan terdiri daripada kota dan wilayah sekelilingnya. Secara umumnya, negara kota bolehlah dianggap sebagai kumpulan penduduk yang bergabung menjadi satu komuniti dan sama-sama menjalankan pemerintahan. Terdapat banyak negara kota di seluruh dunia contohnya di Yunani, Arab, Alam Melayu dan Rom. Sparta merupakan salah sebuah negara kota yang terdapat di Yunani. Ia terletak di Selatan Yunani iaitu di Semenanjung Peloponnesus dalam daerah Laconia. Seperti negara kota yang lain, Sparta mempunyai beberapa ciri yang menunjukkan ia adalah sebuah negara kota.

Ciri-ciri

a) Unit yang Bebas

Sebagai sebuah negara kota Sparta merupakan sebuah unit yang bebas. Sparta mengamalkan sistem pemerintahan bercorak monarki terhad. Pemerintahannya diperintah oleh 2 orang keluarga raja iaitu Agiadae dan Eurypontidea yang selalu selisih atau bertelingkah. Selain itu, urusan pentadbiran dibantu oleh sebuah majlis yang mempunyai 28 orang yang kebanyakan anggotanya berketurunan bangsawan. Perkhidmatan bangsawan adalah untuk seumur hidup. Ahli-ahli majlis dipilih oleh warganegara Sparta dalam Dewan Perhimpunan yang kesemua ahlinya terdiri daripada lelaki. Bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan, Dewan Perhimpunan melantik 5 orang pegawai yang dikenali sebagai Ephors. Mereka berperanan untuk memastikan tidak berlaku pemerintahan mutlak di kalangan raja. Lama-kelamaan, kuasa mereka mengatasi kuasa raja sehingga raja boleh dihukum buang negeri atau dibunuh. Oleh itu, kebanyakan rakyat berasa tidak puas hati dengan kuasa golongan ini.

b) Kedudukan yang Strategik

Sparta mempunyai kedudukan yang strategik iaitu terletak dalam daerah Laconia (Selatan Greek, Semenanjung Peloponesia) sehingga membolehkan Sparta berpotensi menjadi sebuah negara kota yang kuat. Kedudukannya dilindungi oleh laut dan kawasan tanah tinggi telah melindungi Sparta daripada serangan luar. Serangan musuh dapat diputuskan kerana terdapat lindungan daripada perairan sungai. Walaupun mempunyai bumi yang subur dan persisiran pantai yang terteluk-teluk telah mewujudkan pelabuhan-pelabuhan yang baik, tetapi keistimewaan semula jadi ini tidak menggalakkan perdagangan dan perniagaan di Sparta. Sparta turut membuka tanah jajahan di Tarontum (Barat) sehingga ke Croton Paestum.

c) Penduduk

Sebuah negara perlu diwakili oleh sejumlah penduduk. Masyarakat Sparta diwakili oleh 3 golongan iaitu peer, helot dan perioeci. Peer terdiri daripada golongan pemerintah dan pemilik tanah. Hamba abdi dan petani yang mengerjakan tanah golongan peer dikenali sebagai helot. Golongan helot ini sebahagiannya diwakili oleh penduduk yang ditawan. Ia merupakan majoriti penduduk Sparta. Perioeci pula ialah orang bebas yang menjalankan kegiatan pertanian dan perdagangan. Di dalamnya termasuk para pekerja tukang dan pedagang yang dengan rela hati tunduk kepada pemerintah. Mereka memiliki kebebasan dan mengekalkan cara hidup mereka.

d) Ekonomi

Ciri-ciri lain bagi negara kota Sparta adalah berdasarkan dari segi ekonomi. Sebenarnya, negara kota Sparta merupakan sebuah negara kota yang tidak menggalakkan kegiatan perdagangan dan perniagaan walaupun terdapat pelbagai bentuk muka bumi yang subur dan mempunyai deposit bahan galian seperti bijih besi. Kesemua ini dilakukan semata-mata untuk memastikan masyarakat yang ingin dilahirkan dan dibesarkan adalah masyarakat militer.

e) Pasukan Tentera

Pasukan tentera merupakan salah satu ciri yang amat penting dalam pembentukan sesebuah negara kota. Kewujudan pasukan tentera ini bertujuan untuk menjamin keamanan dan keselamatan negara kota serta mempertahankan sesebuah negara kota daripada serangan musuh. Kerajaan Sparta adalah sebuah negara kota yang terkenal dengan pasukan tentera yang kuat. Militari ialah elemen yang paling penting di Sparta. Tenteranya terdiri daripada 2 komponen iaitu tentera darat dan tentera laut. Kanak-kanak Sparta akan menjalani latihan ketenteraan bila mereka mencapai usia 7 tahun di mana mereka diajar menulis, membaca, berperang dan menggunakan senjata. Mereka dilatih secara kuku besi: sepasang pakaian sepanjang tahun, berjalan tanpa kasut dan tidur atas bantal yang dipintal sendiri. Hal ini adalah wajib bagi golongan peer. Mereka akan memasuki tentera pada usia 20 tahun sehingga berusia 30 tahun dan terpaksa tinggal di berek tentera di bawah penyeliaan warganegara yang lebih tua dan pemuda-pemuda Sparta yang diberi nama “Tukang Sebat”. Sistem ini menyebabkan bayi-bayi yang lemah dibunuh sebaik sahaja dilahirkan tanpa perasaan belas kasihan.

f) Kemudahan Infrastruktur

Prasarana merupakan salah satu ciri penting bagi sesebuah negara kota. Di Yunani, negara kota Sparta mempunyai tembok pertahanan yang kuat dan bertujuan untuk mempertahankan negara dari serangan musuh. Dalam masyarakat Sparta di Yunani juga menyediakan kemudahan kuil bagi penduduk tempatan untuk menyembah tuhan-tuhan mereka dan antara seni bina kuil-kuil yang teragung di Yunani adalah Temple of the Virgin dan Erechtheum. Kawasan kediaman dan pasar juga disediakan dan pelan bagi tempat kediaman penduduk adalah lebih teratur dan bersistematik. Penduduk Sparta dapat tinggal di dalam tempat kediaman yang lebih selesa dan dapat memberi perlindungan kepada mereka. Selain itu, kemudahan pasar yang disediakan telah menyenangkan penduduk Sparta untuk menjalani kegiatan perdagangan di dalam kawasan pasar dan hasil jualan yang diperolehi dapat membiayai kehidupan mereka.

g) Agama dan Kepercayaan

Agama juga memainkan peranan yang penting dalam kehidupan orang-orang di Yunani begitu juga dengan penduduk-penduduk di Sparta. Mereka menyembah beberapa orang dewa dan dewi, setiap orang mempunyai gelarannya serta sifat-sifatnya yang tertentu dan menjalankan sesuatu tugas yang telah dikhaskan baginya. Dewa-dewi ini dipercayai serupa orang lelaki dan perempuan tetapi hidup kekal abadi. Mereka mempunyai cara pemikiran dan hawa nafsu seperti manusia, tetapi kuasa mereka lebih daripada manusia. Mereka tinggal di bahagian tinggi Gunung Olympus yang lengang dan diliputi salji. Di sinilah mereka tinggal sebagai satu keluarga di bawah seorang dewa utama, Zeus, “bapa dewa-dewi dan manusia”. Dewa utama Zeus yang menguasai guruh kilat dan taufan. Orang Sparta percaya dewa-dewi ini pada keseluruhannya mementingkan keadilan dan belas kasihan sungguhpun mereka tersinggung jika diketepikan. Mereka marah hanya terdapat orang yang mengeji penyembahan dan pemujaan mereka yang menyakitkan hati orang lemah dan tidak berdosa dan berbangga di atas kezalimannya itu. Upacara keagamaan utama dalam penyembahan mereka ialah pengorbanan lembu dan kambing biri-biri. Korban ini bukanlah merupakan pemberian rasuah tetapi lebih merupakan satu perhimpunan suci dan mesra dan dapat merapatkan lagi hubungan manusia dengan dewa-dewi. Di samping itu, sukan olimpik diadakan untuk memperingati tuhan-tuhan mereka. Kecemerlangan yang dicapai dalam permainan dianggap sebagai penghormatan kepada tuhan Zeus.

h) Tiada Perpaduan

Di Sparta, sentiasa berlaku perang dengan negara kota lain seperti Athens, Corinth, Olympia dan Argos. Persaingan ini berlaku kerana ingin meluaskan tanah jajahan mereka. Selain itu, kekayaan dan kekuasaan juga mendorong mereka berperang. Biasanya, peperangan dan permusuhan berlaku apabila idea baru menentang fikiran lama mereka dan menggancang tapak pendirian hidup mereka. Kepercayaan yang berbeza turut mengakibatkan peperangan dan pertelingkahan.

i) Keluasan

Sparta mempunyai tanah jajahan seluas 8,400 km persegi. Ia merupakan negara kota yang paling luas berbanding dengan negara kota yang lain.

Sparta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>